Jam di dinding menunjukkan 12.20 tengah hari. Sesi pembelajaran dah lama berakhir. Suasana dalam kelas tu dah semakin suram. Yang tinggal pun dalam lima, enam kerat orang je. Budak-budak lain dah balik, rumah mereka dekat. Tu belum kira yang lari keluar melalui tingkap waktu kelas sebab mengamuk nak balik.Tingkap rendah, beranilah budak tu buat. Yang senasib dengan Zaki, terpaksalah tunggu papa mama datang ambik waktu lunch mereka. Rumah jauh. Kalau panjat tingkap pun, nak lari pergi mana?
Ustazah pula entah ke mana menghilang. Ke dapur, mungkin. Entah-entah pergi tanda buku latihan budak-budak. Mereka panggil cikgu "Ustazah" kat sini, PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam). Tak panggil ustaz sebab tak ada cikgu lelaki pun di sini.
Zaki berguling-guling dari dinding ke dinding yang bertentangan, kebosanan. Dah terlanggar dinding yang satu lagi, dia berguling balik. Guling, guling, lagi dan lagi. Dah macam Shin Chan saja gayanya. Budak-budak... Baru 5 tahun... Dipandangnya sekilas ke sekeliling kelas, melihat dua, tiga orang rakan yang lain. Semuanya dah macam mayat hidup, juga kebosanan. Ah, kenapa mesti hadir kebosanan ini?
"Man!" Ditepuk kuat bahu Othman yang sedang termenung jauh mengira jumlah anak cucunya. Tersentak kawan tu dibuatnya. Nasib baik tak melatah.
"Uh? Apehal?" Berpusing maut kepala Othman menghadap muka Zaki. Aii, mahu saja aku cekik-cekik budak ni. Buat terkejut aku je.
"Aku bosan ah. Jom main lawan-lawan." Kalau bosan, ubatnya mainlah. Ape lagi yang ada dalam kepala budak 5 tahun?
"Main lawan-lawan? Best gak. Jom! Aku pun bosan ni." Bersinar-sinar mukanya mendengar cadangan tersebut seolah-olah mendapat penyelesaian drastik bagi masalah pemanasan global.
Kedua-dua budak tak cukup umur itu berdiri, membuka kuda-kuda. Nak kata belajar silat, belajar taekwondo, karate, takdelah. Terima kasih kepada TV yang menyiarkan rancangan Kamen Rider Black, Fantastic Four, Thundercats, Power Rangers, Spiderman, Superman, dan macam-macam lagi cerita aksi kartun, budak-budak ni ada jugak ilmu mempertahankan diri. Sikit-sikit pun jadilah.
Beberapa orang budak yang lain sekadar menjadi pemerhati. Yang perempuan pula, melihat dengan takut-takut. Tak ada pula yang sukarela menawarkan diri nak jadi referee. Bibir Zaki mengukir sengih yang kemudiannya dibalas oleh Othman, penuh sinis. Kedua-duanya melompat-lompat perlahan. Nampaklah stylo sikit.
"Start!"
Telinga Othman pantas menangkap isyarat mula. Dia mengorak langkah laju ke hadapan. Tangan kanan yang digenggam erat pantas dihayun ke arah lawan. Zaki terkedu melihat.
"Dub!!"
Penumbuk yang dikepal keras tadi singgah tepat di perut Zaki. Kuat. Terbeliak matanya menahan senak. Dia terlutut ke lantai sebelum terbaring memang perut. Mata mula berkaca. Esak tangis tak sempat disembunyikan. Celaka kau Man. Sakit. Sakit!
Othman terkelu melihat lawannya rebah, terpaku di situ. Apa aku dah buat ni? Kuat ke dia kena tadi? Kuat sangat ke?
"Ustazah!! Othman tumbuk Zaki! Zaki menangis!"
Tinggi suara Fazura melaung menyampaikan berita. Tiada balasan. Mungkin Ustazah tak dengar. Mungkin Ustazah dah mengorak langkah ke mari. Othman tak ambil kisah. Matanya masih memandang Zaki yang teresak-esak di lantai.
"Kenapa kau beritahu ustazah? Kan kau suka kat Othman?" Aisyah berbisik lantang. Pantas Fazura menutup mulutnya dengan tangan.
Othman tetap tak ambil kisah. Dia tak tahu nak buat apa dengan Zaki yang masih lagi menangis. Dia sekadar membisu. Salah dia ke? Ke nak lari je sebelum ustazah datang?
by Ciril |
0 comments:
Post a Comment