"Aku Nak Couple Boleh?"

***

"GOOOOLLLL!!! YEAAAHHHH!!!"

Sorakan yang bergema di padang CFS menggegar seluruh pelusuk malam itu apabila entah pasukan mana berjaya menembusi gawang lawan. Kuat dan nyaring sungguh. Entah berapa desibel, Fahri tak tahu. Namun, nasib baik frekuensinya tidaklah sehingga merobohkan bangunan Mahalah Umar al-Khattab dan Mahalah Khadijah yang berdekatan. Bola kembali disepak-sepak di tengah padang, namun tumpuan Fahri sudahpun hilang. Dipandangnya Aziz dan Faiz yang masih khusyuk dengan perlawanan yang berlangsung. Mak aii, langsung tak berkelip mata.

"Weh, korang. Aku nak tanya koranglah." Fahri membuka bicara di tengah sorakan manusia.

"Ya? Apakah?" Serentak dua sekawan itu berpaling.

"Kalaulah aku nak couple kan, apa agaknya pendapat korang? Boleh tak?"

"Couple?" Sebelah kening Faiz terangkat. "Kau ni apahal? Tiba-tiba je tanya. Buat apalah nak couple? Bukannya ada faedah pun couple-couple ni."

"Entahlah kau ni Yie. Apalah sangat nak dibanggakan coupling tu. Buang masa buang duit je" Aziz menambah. Apa kenalah agaknya dengan kawan aku yang seorang ni? Senyap-senyap dalam hati ada taman? Heh.

Fahri tersenyum. "Eheh. So, korang kata tak ke ni?"

"Ye lah, tak. Kau ni pun, betul ke kau nak couple?"

"Haha. Takdelah. Aku tanya je. Nak tahu pendapat korang macam mana." Fahri tersengih melihat kedua-dua rakannya yang jelas bingung. Aku pun, ada ke patut. Memanglah korang jawab tak payah couple pasal korang pun tak couple. Sorang pemalu, sorang lagi macam tak bernafsu. Heh.

Fahri kembali mencari bola di tengah padang. Bicara pendek sebentar tadi berakhir begitu saja, berganti dengan jerit sorang penonton yang semakin kuat apabila bola menghampiri pintu gol dikemudi kaki penyerang lincah.

Sikit lagi.. Sikit lagi.. Sikit lagi.. dan.. GOOOLL!!!

***

"Ah, penat gila hari ni!" Munir merebahkan badan ke atas katil sebaik saja memasuki bilik. Letih!

"Memang. Penat amat!" Fahri turut merebahkan diri. Munir sempat mengelak daripada dihempap. Kalau tak, alamat retaklah tulang belulang.

"Kau tahu tak, tadi nasib baik Miss tak tolak markah lab aku . Syuk punya pasallah. Kerja dia nak buat bising je dalam lab tadi. Mana tak hangin Miss tadi." Munir lega betul.

Fahri ketawa. "Kau pun satu. Jangan dilayan sangat Syuk tu waktu dia nak buat hal."

"Ceh, aku pulak yang salah. Memang tak boleh diharap nak buat backuplah kau ni. Ape punya roommate daa."

Ketawa Fahri pecah lagi. "Takkan merajuk kot?" Dah macam perempuanlah pulak nak merajuk-merajuk ni. Geli aku nak memujuk. Perempuan? Soalan yang diajukan kepada Aziz dan Faiz tempoh malam terlintas di fikiran. "Nir.."

"Ye?" Dibalasnya bersahaja sedang mata menatap siling.

"Apa pendapat kau kalau aku nak couple?"

Munir diam seketika. Anak matanya beralih memandang Fahri dengan dahi berkerut. "Couple? Kau serius ke ni?"

"Aku tengah tanya kau la ni." Aku pulak yang ditanya balik. Haih.

"Bagi akulah kan, aku rasa tak payahlah kau couple."

"Ye eh? Mengapakah?"

"Yelah. Kadang-kadang, orang yang couple macam aku ni pun rasa lagi best kalau tak couple. Macam ada menyesallah jugak couple ni. Kalau couple masa ni pun, aku rasa macam tak kemana jugak. Kau pun fahamlah macam mana kan?"

Fahri mengangguk perlahan. Faham. "Kau pulak, kenapa kau couple?"

Sepi mengisi ruang bilik. Hanya bunyi kipas siling yang berkeriuk menjadi irama tengah hari tu. Kipas yang semakin meningkat usia, sebagaimana dua orang anak muda di bawahnya.

by Marielliot at DeviantArt

***

Trrrrrr.

Getaran telefon bimbit di atas meja belajar menyedarkan Fahri dari dunia Matematik yang bagaikan tiada penghujungnya. Dijelingnya Nokia X6 yang sedang menggedik-gedik. Tangan kanan Adib pantas menyambar. Pensel yang digenggamnya tadi entah sudah dilontar ke mana. Inbox SMS dibuka sebelum mulut mengoyak senyum sendirian. Fahri sekadar menggeleng melihat.

"Aweklah tu."

Adib sengih. "Biasalah bro." Jemarinya pantas menekan kekunci menaip balasan. Smiley comel wajib dimasukkan sekali.

"Weh, best ke ada girlfriend?"

Jemarinya terhenti di atas skrin. Adib mengangkat muka memandang Fahri. "Err, kenapa?"

"Takdelah. Aku nak tanya kau. Apa pendapat kau kalau aku nak couple? Boleh tak?" Dah masuk kali ketiga dah aku tanya soalan ni. Heh.

"Kau nak couple? Betul ke bro? Tapi, sejujurnyalah kan, aku rasa tak payahlah kau layan couple ni. Ramai bebudak yang couple pun sebab pengaruh sekelilinglah kot."

"Eh? Tak payah pulak? Dah kau ni?" Dia yang couple, dia pulak yang kata tak payah.

"Ye lah, aku ni antara yang terpengaruhlah. Bila tengok kawan-kawan couple, aku pun rasa nak couple jugaklah. Pengaruh rakan-rakan. Tapi selalunya girlfriend aku ni lah yang aku rujuk, bantu aku pasal cara-cara nak deal dengan perempuan. Aku bagitahu kau ni, tak payahlah couple."

"Ler. Macamlah tak ada orang lain yang boleh dirujuk. Tak semestinya kena couple."

"Tapi kalau kau nak couple jugak, boleh je." Pantas Adib memotong. "Asalkan kena caranya."

"Asalkan kena caranya? Macam mana tu?" Fahri ingin tahu. Bila ada benda yang membolehkan ni lah yang best. Eheh.

"Ala, yang kalau kau pergi dengar ceramah, talk apa semua tu, diorang kata nak couple boleh kalau tak hantar-hantar mesej, tak pergi dating dan apa jadah lagi. Yang macam tu lah." Couple Islamiklah katakan.

"Oh. Tapi kenapa kau tak pulak buat macam tu?"

"Aku ni tak cukup baik nak buat macam tu. Aku bukannya beriman sangat pun." Adib sengih.

"Ceh, macam tu pulak." Habis, belajar sekolah agama buat apa? "Kau sayang ke girlfriend kau tu?"

"Mestilah sayang bro. Dah nama pun girlfriend." Kalau tak sayang, takdelah aku nak bercouple dengan dia.

"Agak-agaklah kan, sayang kau tu membawa ke syurga tak?"

"Sampai ke syurga, insyaAllah." Ceh, nak pekena akulah ni. Jadah betul.

"Kalaulah kau sayang dia kan, kau tak pernah terfikir ke nak berhenti couple ni?"

Adib diam seketika. Berhenti? "Susah bro nak berhenti. Sebab benda ni berkait dengan soal hati. Susah. Susah."

Fahri tersengih. "Susah tu tak bermaksud tak boleh. Kalau kau cuba, insyaAllah boleh. Memanglah tak boleh berhenti tiba-tiba macam tu je. Makan masa jugak. Yang penting, cuba."

Adib diam lagi. Memang kenalah aku malam ni. Cis. "Yelah. Nanti aku cuba perlahan-lahan."

Senyum terukir di bibir Fahri. Dia kembali menghadap buku Matematiknya bilamana telefon bimbit Adib bergetar sekali lagi. 

***

Dan, begitulah manusia. Pandai menasihati lain insani, namun bagaimana dengan diri sendiri? Yang lain dinasihatkan tidak mencuba, namun kenapa diri sendiri dibiarkan terumbang-ambing dalam gelora? Ya, daku mengerti, bila dah mula, susah hendak dicari penamatnya. Ini soal hati, soal perasan. Namun, yang penting cuba. Pernah percubaan itu bermula? Tak boleh, diri tak cukup baik. Bila pula hendak jadi baik?

Bukanlah daku untuk berikan dalil itu dan ini mengatakan haramnya couple. Tidak kukatakan haram kerana hukum bergantung pada caranya. Klik dan bukalah nota ini untuk membuka minda. Segalanya nyata.

Apakah erti cinta andai tidak membawa ke syurga? Apakah erti cinta andai akhirnya neraka? Ya, daku terpengaruh dengan definisi cinta Hilal Asyraf. Benarlah dia demi Allah dan Rasulnya. Kesucian cinta kini diperkosa. Kalimah sayang suara manja ditabur merata. Apabila dengan A, cintakan A. Apabila dengan B, cintakan B. Sepuluh kali berpasangan, sepuluh kalilah bertukar sayang. Ah, murahnya ungkapan cinta tanpa akad yang jelas dan nyata.

Pernah daku terbaca komen seorang pembaca, yang aku lupa siapa, di SaifulIslam.com tentang cara untuk menjustifikasi amalan kita. Bayangkanlah, banggakah kita andai perbuatan kita diperkata, dizahirkan di depan Rasulullah S.A.W? Redhakah baginda dengan amalan kita? Lagi penting, redhakah Allah dengan perbuatan kita?

Apakah erti cinta andai tidak membawa ke syurga?
by BlackJack0919 at DeviantArt

5 comments:

February 28, 2011 at 8:38 PM Anonymous said...

LIKE! Andai aku ada 100thumbs, 100 aku up kan!

I love this.

Thanks!

-kudozu

February 28, 2011 at 9:49 PM Unknown said...

hiperbola sungguh hiperbolamu. namun, terima kasih kerana menyukai :)

March 25, 2011 at 10:30 PM Aija said...

Jangan ber'couple' lama-lama, nanti bertambah dosa.

March 30, 2011 at 9:02 AM Unknown said...

nak couple boleh, tapi caranya dengan berkahwin. itulah yang halal dan bebas dari dosa.

November 3, 2013 at 11:03 AM redpepper said...

ye,nak couple boleh,
tapi sejauh mana manusia mampu mengikut rentak konsep "couple yg boleh" tuh?
selagi boleh dijauhkan. kita cuba. jgn mulakan. kelak, fhm2 sndiri.

btw, nice entry.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...